Thursday 14 July 2016

Penawar Derita Penghidap Insomnia


Pernahkah anda mengalami masalah sukar untuk tidur pada waktu malam atau terjaga daripada tidur pada waktu malam dan sukar untuk kembali tidur? Jika ya, anda mungkin mengalami masalah yang dikenali sebagai Insomnia.
Insomnia ialah sejenis ganguan tidur yang didefinisikan sebagai kesukaran untuk memulakan tidur atau kekal tidur pada waktu malam. Individu yang mengalami insomnia juga tidak mendapat kuantiti tidur yang secukupnya walaupun mempunyai masa dan peluang untuk tidur dan seterusnya mengakibatkan gangguan pada rutin hariannya.
Individu yang mengalami insomnia biasanya akan mempunyai gejala-gejala seperti sukar untuk tidur pada waktu malam, terjaga daripada tidur dan sukar untuk tidur kembali, terjaga terlalu awal pada waktu pagi, berasa penat selepas bangun dan mengantuk pada waktu siang. Individu seperti ini juga menghadapi masalah dalam menumpukan perhatian kepada kerja atau aktiviti harian.
Masalah insomnia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja pada semua peringkat umur, terutamanya wanita, warga tua, mereka yang tergolong dalam sosiekonomi yang lebih rendah, penagih alkohol yang kronik dan pesakit yang mempunyai masalah kesihatan mental.
Sekiranya seseorang individu itu mengalami gejala-gejala yang berkaitan dengan masalah insomnia, individu tersebut perlulah merujuk kepada pegawai perubatan agar masalah insomnia dapat dikenalpasti dan dirawat di peringkat awal lagi. Individu yang mengalami masalah insomnia yang kronik biasanya akan mendapat ubat-ubatan yang dapat membantu mengatasi masalah tersebut seperti benzodiazapines atau ubat anti-kemurungan.
Benzodiazepines adalah sejenis ubat yang bersifat sedatif yang mana akan memberi ketenangan kepada pesakit. Penggunaan ubat ini perlu dikawal kerana penggunaannya dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang dikenali sebagai tolerans, iaitu semakin lama ubat digunakan, kesan sedatif akan berkurangan. Sehubungan dengan itu, pesakit memerlukan dos yang tinggi untuk mendapatkan kesan sedatif yang sama dan seterusnya membawa kepada keadaan ketagihan. Benzodiazepines boleh digunakan sebagai pengubatan jangka masa pendek untuk penyakit insomnia dan merupakan ubat terkawal.
Selain daripada Benzodiazepines, terdapat juga ubatan lain yang boleh digunakan untuk merawat insomnia seperti ubat anti-kemurungan. Ubat anti-kemurungan digunakan sebagai alternatif kepada benzodiazepines untuk pesakit yang tidak boleh mengambilnya seperti pesakit yang mengalami masalah kemurungan atau individu yang mempunyai sejarah penyalahgunaan ubat benzodiazepines.
Walaubagaimanapun, penggunaan ubat-ubatan dalam rawatan insomnia untuk jangka masa panjang adalah tidak digalakkan kerana ia boleh mengakibatkan kebergantungan kepada ubat tersebut dan mempunyai kesan sampingan yang serius. Justeru, individu yang mengalami insomnia yang ingin memulakan sebarang rawatan perlulah merujuk kepada pegawai perubatan terlebih dahulu.
Selain daripada penggunaan ubat-ubatan, kaedah rawatan yang tidak menggunakan ubat juga merupakan satu kaedah yang berkesan dalam merawat insomnia. Justeru, para pengamal perubatan amat menggalakkan kaedah ini disamping penggunaan ubat-ubatan sebagai rawatan insomnia.
Prosedur kawalan rangsangan merupakan salah satu prosedur yang boleh digunapakai oleh seseorang individu bagi mengatasi insomnia. Pengurusan masa tidur yang baik adalah penting dalam mengatasi masalah insomnia. Individu tersebut digalakkan untuk menetapkan masa tidur yang sama pada setiap hari dan hanya tidur secukupnya untuk merehatkan badan selain daripada mengelak daripada tidur pada waktu siang.
Seseorang itu juga disarankan untuk hanya tidur apabila berasa mengantuk dan mengelak daripada berjaga terlalu lama di atas katil. Sekiranya seseorang itu gagal untuk tidur dalam masa 20-30 minit selepas baring di atas katil, elakkan daripada memaksa diri untuk tidur sebaliknya digalakkan untuk melakukan aktiviti yang mampu membuatkan rasa mengantuk.
Tabiat tidur yang baik juga adalah penting dalam merawat insomnia. Individu yang mengalami insomnia digalakkan untuk melakukan senaman ringan secara berkala pada waktu petang tetapi tidak terlalu hampir dengan waktu tidur kerana ia boleh menyebabkan sebaliknya iaitu menjadi lebih segar.
Persekitaran tidur yang selesa seperti mengelak daripada cuaca yang terlalu panas atau sejuk, bunyi bising dan pencahayaan yang sesuai juga boleh membantu seseorang individu dalam mengatasi masalah insomnia. Selain daripada itu, digalakkan juga untuk berhenti atau mengurangkan pengambilan minuman keras, kafein atau nikotin dan mengelak daripada meminum air dalam kuantiti yang banyak sebelum tidur agar waktu tidur tidak terganggu.
Pengguna atau pesakit juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian bebas tol 1800-88-6722 untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan ubat-ubatan.
Disediakan oleh
Syahira Binti Abdul Refai,
Pegawai Farmasi Hospital Port Dickson


sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

No comments:

Post a Comment