Tuesday, 8 August 2017

APAKAH SEBAB SAKIT RAHANG ?


Apakah sendi rahang mulut?

Kita mempunyai sepasang sendi rahang yang berhubung terus dengan tengkorak pada bahagian skuamus tulang pelipis (temporal bone). Dengan adanya sendi rahang, kita boleh membuka dan menutup mulut dengan sempurna. Terdapat satu lapisan memisahkan sendi rahang dengan tulang pelipis. Ia dikenali sebagai disk artikular (articular disc). Disk artikular ini dikenali juga sebagai meniskus, ia berbentuk cembung, dan bersifat ‘fibrocartilage’. Ia membantu dan memudahkan pergerakan sendi rahang. Pada bahagian ini juga terdapat otot, salur darah dan saraf.

American Academy of Orofacial Pain (AAOP) telah mengklasifikasikan masalah ini kepada dua keadaan. Keadaan yang pertama ialah melibatkan masalah pada otot [Muscle related-TMD (MrTMD)] dan yang kedua pula melibatkan masalah pada sendi (Joint-related TMD (Jr-TMD)). Masalah yang pertama sering berlaku. Pesakit akan mengadu sakit pada bahagian otot muka, pembesaran otot juga mungkin berlaku. Masalah ini selalu terjadi kepada pesakit yang suka mengunyah pada waktu malam tanpa sedar (bruxism) atau suka mengetap gigi setiap masa atau semasa stress (clenching). Kekadang tabiat menggigit pensel dan kedudukan badan yang tidak betul juga menjurus ke arah masalah ini. Masalah kedua lebih kepada pesakit yang sedia ada mempunyai penyakit sendi seperti radang pada sendi (arthritis), gout, jangkitan kuman atau neoplasia.

Kenapa ia boleh terjadi?

Mr-TMD boleh berlaku akibat penggunaan otot muka yg sangat aktif (bruxism/clenching). Ia juga boleh berlaku sekiranya perubahan oklusi gigi seperti tampalan gigi yang tinggi dan pesakit tidak dapat menyesuaikan diri dengan posisi tampalan tersebut. Kadang-kadang stress, posisi duduk yang tidak betul juga memainkan peranan kepada masalah ini.

Jr-TMD pula, masalah yang selalu terjadi adalah ‘disc displacement-DD’. Terdapat dua jenis DD iaitu ‘anterior disc displacement with reduction’ dan ‘anterior disc diplacement without reduction’. Masalah pertama melibatkan disk kembali kepada kedudukan asal dan yang kedua pula ia kekal pada kedudukan abnormal. Pesakit akan sukar untuk membuka mulut dengan luas. Sendi juga akan berbunyi.

Epidemiologi

Berdasarkan kajian, 75 peratus populasi mempunyai simptom atau tanda menghadapi masalah ini dan didapati hanya lima peratus hingga 10 peratus pesakit sahaja yang memerlukan rawatan selanjutnya dari pakar pergigian. Majoriti pesakit yg mengalami masalah ini ialah wanita yang berusia di antara 20 hingga 40 tahun.

Aduan pesakit

Untuk membuat diagnosis bagi sesuatu masalah, pegawai pergigian perlulah bertanya sejarah pesakit dan melakukan pemeriksaan ke atas pesakit. Selalunya pesakit akan mengadu terlalu banyak duduk menggunakan komputer, stress, pernah mengalami kecederaan pada bahagian muka, sakit pada bahagian leher dan bahu, suka mengetap gigi dan mengunyah gigi pada waktu malam. Pesakit juga akan mengadu sakit kepala, leher dan bahu serta sakit pada kawasan telinga, tidak boleh membuka mulut dengan luas, dan sendi berbunyi apabila membuka mulut. Gigi pesakit juga tampak haus, agak rata bergerigi dan ngilu/sensitif.

Rawatan





Sebelum rawatan, prosedur x-ray akan diambil pada kawasan sendi untuk meneliti punca masalah sebenar pada kawasan tersebut. Kadang-kadang tiada abnormaliti yang dapat dikesan. Kadang-kadang pula kita akan mendapati permukaan sendi akan menunjukkan tanda-tanda haus. CT scan dan MRI scan juga boleh digunakan untuk melihat lebih teliti kawasan yang bermasalah tersebut. Prosedur seperti biopsi juga boleh dilakukan untuk mengesan rheumatoid factors, antinuclear antibody dan antibodi yang lain sekiranya penyebab TMD adalah rheumatoid artritis, temporal arteritis atau masalah pada tisu penghubung. Kandungan asid urik juga boleh diperiksa jika gout menyumbang masalah sendi rahang.

Kebanyakan masalah sendi rahang ini akan pulih sendiri dan tidak menjadi teruk. Rawatan selalunya melibatkan memberi nasihat kepada pesakit untuk mengurangkan stress, urutan pada bahagian yang sakit, meletak ‘cold ice pack’ pada kawasan yang sakit, betulkan kedudukan badan semasa membuat kerja. Selain itu, tabiat seperti menggigit pensel, mengetap gigi atau mengunyah gigi hendaklah dielakkan. Splint pula akan diberikan kepada pesakit dan hendaklah dipakai terutama pada sebelah malam untuk membuang tabiat mengunyah gigi semasa tidur. Pesakit juga akan diajar oleh pakar pergigian bagaimana untuk membuat senaman rahang. Ubat tahan sakit juga boleh digunakan. Kadang-kadang ubat untuk kemurungan (antidepressant) juga boleh diberikan kepada pesakit untuk mengatasi masalah ini.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, rawatan masalah TMD adalah mudah, dan prognosisnya adalah baik. Simptom selalunya akan berkurangan sekiranya pesakit melakukan apa yang diarahkan dengan betul.


No comments:

Post a Comment