Thursday, 25 August 2016

Risiko Rabun Jauh di Malaysia – Dr. Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah

Myopia atau rabun jauh adalah salah satu masalah penglihatan mata yang menjadi epidemik bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Peningkatan yang mendadak, terutamanya di Asia ini menjadikan ia adalah salah satu kebimbangan dalam sektor kesihatan masyarakat awam (public health), terutamanya dari 3 aspek penting. Pertama, peratusan kanak-kanak sekolah yang mengalami rabun jauh di negara-negara maju di seluruh Asia Timur dan Asia Tenggara seperti Singapura, Cina, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Korea, telah dilaporkan meningkat semenjak 50-60 tahun yang lalu.

Di kawasan bandar, 80 hingga 90 peratus daripada pelajar-pelajar yang tamat sekolah menengah mengalami rabun jauh, dan 10 hingga 20 peratus darinya mengalami rabun jauh yang tinggi. Kedua, WHO mengiktiraf bahawa rabun jauh yang tidak dirawat sepenuhnya (kurang rawatan atau tidak dirawat langsung) mampu menyebabkan seseorang itu mempunyai penglihatan yang tidak sempurna (visual impairment). Ketiga, mereka yang mengalami rabunjauh yang tinggi berisiko mengalami komplikasi yang boleh membawa kebutaan, seperti saraf tertanggal (retinal detachment), yang tidak lagi boleh dirawat dengan kacamata atau kanta lekap.

Genetik atau faktor keturunan sememangnya didapati memainkan peranan penting dalam masalah rabun jauh ini. Faktor genetik ini dapat menjangka sama ada individu itu mendapat rabun jauh pada usia muda tetapi stabil sepanjang usia kanak-kanak, mendapatrabun jauh pada usia muda dan keadaan rabun yang semakin parah apabila usia meningkat, atau mendapat rabun jauh pada usia yang lebih tua. Kajian ini turut menunjukkkan, faktor-faktor persekitaran didapati boleh mempengaruhi pembentukan rabun jauh dalam diri individu- individu , terutamanya bagi mereka yang mempunyai seorang atau dua orang ibu bapa yang rabun jauh. Antara faktorrisiko yang ditekankan adalah jumlah waktu seseorang individu itu berada di dalam rumah (atau bangunan), dan jumlah waktu yang dihabiskan untuk melakukan kerja pada jarak dekat.

Sebuah kajian di Sydney Australia, yang telah memeriksa lebih 4000 orang kanak-kanak selama tiga tahun mendapati, kanak-kanak yang lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah, mengalami kurang risiko mendapat rabun jauh 6. Ada sesetengah penyelidik yang mengkaji, kemungkinan penurunan risiko ini disebabkan oleh kanak-kanak itu banyak melakukan aktiviti fizikal semasa di luar rumah. Tetapi kajian yang melihat kanak-kanak yang bermain aktif di dalam rumah (indoor), tidak mengalami pengurangan risiko rabunjauh. Salah satu kajian yang menyokong fakta ini adalah, kajian yang berkaitan bahan bernama dopamin di dalam retina mata iaitu lapisan saraf di dalam mata. Paras dopamin adalah paling tinggi pada waktu siang (suasana terang), dan rendah pada waktu malam, atau digelar perubahan diurnal. Paras dopamin yang tinggi adalah perlu untuk mengelakkan bola mata memanjang, kerana bola mata yang panjang sudah dikenalpasti sebagai penyebab rabun jauh. Apabila seseorang individu itu terlalu banyak menghabiskan masa di dalam rumah, terutamanya kanak-kanak yang asyik bermain permainan video dan alat peranti canggih, terdapat gangguan dalam paras hormon dopamin ini, dan menyebabkan pertumbuhan bola mata yang tidak terkawal. 7 Faedah berada di luar rumah untuk kesihatan mata ini juga adalah disebabkan cahaya yang terang di luar rumah, kecerahan (chromaticity) cahaya matahari pada waktu siang dan khasiat vitamin D.


Selain dari kurang bermain di luar rumah, penggunaan alat permainan video dan alat peranti yang tidak dikawal juga meningkatkanrisiko rabun jauh kerana jarak fokus antara mata kanak-kanak dan alat-alat tersebut terlalu dekat, seperti yang disahkan dalam kajian ke atas 5052 orang kanak-kanak di Beijing, China. Walaupun membaca buku pada jarak dekat juga memberi impak yang sama kepada mata, kanak-kanak yang membaca selalunya tidak mengambil masa terlalu lama berbanding bermain alat permainan video atau alat peranti. Selain itu, apabila terlalu asyik bermain alat peranti, kanak-kanak juga sukar untuk mengambil waktu rehat daripada permainan tersebut, menyebabkan mata mereka terpaksa bekerja keras untuk mengekalkan fokus secara berterusan, dan ini adalah satu lagi faktor peningkatan kes-kes rabun jauh di kalangan kanak-kanak. Disarankan bagi setiap 30 hingga 40 minit melakukan kerja yang memerlukan fokus pada jarak dekat, individu-individu patut mengambil masa beberapa minit untuk merehatkan mata, dengan melihat objek pada jarak jauh.

Selain komplikasi rabun jauh akibat banyak melakukan kerja pada jarak dekat seperti menggunakan telefon pintar atau alat peranti, komplikasi lain penggunaan alat peranti yang terlalu lama termasuklah mata kering akibat kurang berkelip, kabur penglihatan jarak dekat dan jauh (accommodation spasm), sukar mendapatkan tidur yang berkualiti, gelisah apabila berjauhan dari alat komunikasi (anxiety), serta sakit bahagian leher (cervicalgia) dan jari jemari (tendinitis) akibat menghabiskan masa yang panjang dengan alat peranti .

Kesimpulannya , untuk mengurangkan risiko rabun jauh di kalangan kanak-kanak, saya menyarankan agar:
  • Kanak-kanak di bawah usia dua tahun tidak dibenarkan langsung bermain dengan alat permainan video, telefon pintar, alat peranti dan sebagainya kerana mata mereka sedang berkembang dengan sangat pesat.
  • Hadkan masa penggunaan alat peranti untuk anak-anak, sebaiknya kurang dari sejam sehari.
  • Galakkan anak-anak bermain di luar rumah, bagi mendapatkan pencahayaan yang baik, yang seterusnya mempengaruhi kesihatan mata anak-anak yang sedang berkembang
  • Sekiranya anak-anak terpaksa melakukankan kerja pada jarak dekat dengan lama, contohnya membuat kerja sekolah, ibu bapa perlu memastikan ada waktu rehat bagi mata , iaitu 5 minit bagi setiap 30 hingga 40 minit waktu bekerja.
  • Sekiranya sudah terlanjur memberikan anak-anak bermain dengan alat peranti dengan banyak, dan anak-anak mengadu sakit kepala, sukar untuk melihat atau menunjukkan prestasi yang merosot di sekolah, bawalah anak-anak untuk pemeriksaan mata yang lengkap dengan pakar mata di hospital dan klinik terdekat, secepat mungkin.

Wednesday, 17 August 2016

Panduan Kesihatan Semasa JEREBU

Apakah Jerebu?

Jerebu ialah satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semula jadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ianya boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.


Punca - Punca Jerebu

Punca utama jerebu adalah akibat daripada :

  • Pembakaran Secara Terbuka
  • Asap Dari Kilang
  • Asap Dari Kenderaan
HINDARI DARIPADA PERBUATAN YANG BOLEH MENYEBABKAN JEREBU.
Indeks Pencemaran Udara (IPU)

IPU diperolehi daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan seperti berikut :-

NILAI IPU / STATUS
0 - 50 / Baik
51 - 100 / Sederhana
101 - 200 / Tidak Sihat
201 - 300 / Sangat Tidak Sihat
301 - 500 / Berbahaya

Anda perlu mengikuti perkembangan semasa melalui media massa (akhbar, televisyen dan radio) untuk mengetahui tahap jerebu semasa di tempat anda supaya dapat mengambil langkah - Iangkah pencegahan.

JEREBU MENGANCAM KESIHATAN ANDA!!

Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan yang buruk kepada semua orang terutama golongan yang berisiko tinggi iaitu :-
  • Kanak-kanak
  • Orang tua
  • Mereka yang mengalami penyakit
  • asma
  • bronkitis
  • radang paru-paru
  • penyakit paru-paru yang kronik
  • jantung
  • alahan
  • Perokok
  • Mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah.

Apakah Tanda dan Gejala Kesan Jerebu Kepada Kesihatan

Kesan-kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah:
  • Terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk.
  • Terasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas.
  • Mata terasa pedih dan berair.
  • Hidung berair dan kerap bersin.
  • Kulit badan terasa gatal-gatal.
  • Terasa sakit dada.
Dapatkan rawatan dan nasihat doktor di klinik berhampiran sekiranya anda mempunyai tanda-tanda dan gejala tersebut.

CEGAHLAH PENYAKIT AKIBAT JEREBU. IKUTI NASIHAT BERIKUT:-
  • Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk.
  • mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.
  • Penutup hidung (nasal mask) hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dalam kumpulan berisiko tinggi.
  • Perokok yang mempunyai anak kecil, ibu bapa tua dan sanak saudara yang berpenyakit jangan merokok di dalam rumah.
  • Sejauh yang boleh, orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah.
  • Kurangkan aktiviti sukan di luar rumah
  • Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih.
  • Sekiranya kenderaan anda berhawa dingin, sila gunakannya.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak.
  • Perokok dinasihatkan supaya tidak merokok apabila keadaan udara tidak sihat ( iaitu IPU yang melebihi 100 )
  • Mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan mengambil cuti di luar kawasan yang berjerebu sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya di kawasan mereka.



Pemakanan Sihat Semasa Berjerebu

Pemakanan yang sihat adalah penting semasa musim berjerebu untuk mempertahankan sistem imunisasi badan dan menjauhkan diri kita dari mendapat pelbagai penyakit yang ada kaitan dengan jerebu .

Air adalah satu keperluan bagi setiap individu. Air diperlukan di dalam badan sebagai pelarut makanan, garam mineral dan vitamin. Air juga diperlukan untuk mengawal suhu badan dan melancarkan peredaran darah.Air penting untuk meningkatkan kadar metabolisma tubuh dan kadar pembakaran lemak .Minum air kosong pada masa tertentu akan membantu meningkatkan kadar metabolisma badan . Semasa musim berjerebu, cuaca sekeliling yang kering dan panas akan meningkatkan keperluan tubuh terhadap cecair. Ini adalah penting untuk menyeimbangi agar suhu badan tidak terus meningkat.

  1. Tingkatkan pengambilan cecair kepada 6 hingga 8 gelas air atau lebih mengikut keperluan untuk mengelakkan dehidrasi .
  2. Minum Jus serta makan buah – buahan dan sayur- sayuran yang kaya dengan antioksida, vitamin, mineral dan serat bagi membantu melawan penyakit.
  3. Elakkan pengambilan minuman yang mengandungi banyak kaffein seperti kopi dan minuman beralkohol yang boleh menyebabkan pembuangan air kencing yang kerap dan boleh menyebabkan dehidrasi.
  4. Pengambilan air suam adalah digalakkan berbanding minuman sejuk /berais kerana tubuh badan akan kehilangan haba dengan cepat yang perlu diganti semula.
  5. Kurangkan pengambilan makanan yang menyebabkan kehausan dan dehidrasi seperti makanan masin atau bergaram.
  6. Makan pelbagai makanan mengikut keperluan untuk memastikan tubuh mendapat kesemua zat makanan yang diperlukan.
  7. Pastikan semua makanan dan minuman disediakan dalam keadaan bersih ,dimasak dan disimpan dalam keadaan yang sesuai sebelum digunakan untuk mengelakkan keracunan atau pencemaran makanan.
  8. Kekal aktif di tempat yang sesuai ( Dalam bangunan /rumah) tetapi elakkan atau kurangkan aktiviti di luar rumah. Elakkan merokok kerana ianya akan lebih memburukkan keadaan pencemaran udara.
  9. Anda digalakkan makan di rumah dan menyediakan sendiri makanan. Jika makan di luar, pilihlah tempat makan yang bertutup atau berada di dalam bangunan. Lebih baik bungkus makanan dan makan di rumah bersama keluarga. 

Thursday, 11 August 2016

Kanser Payudara

Secara purata seorang wanita di Malaysia mempunyai 1 per 19 kemungkinan untuk mendapat kanser payudara dalam hayat mereka. Ini bermakna, seramai hampir 700,000 kaum wanita di seluruh Malaysia berhadapan kemungkinan untuk dihantui gejala ini. Risiko tersebut paling tinggi menyerang kaum Cina, diikuti kaum India dan akhir sekali kaum Melayu dengan kadar masing-masingnya adalah 1 per 14, 1 per 15 dan 1 per 24. Menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh Daftar Kanser Kebangsaan, kanser payudaratelah menyumbang sebanyak 31% kes kanser bagi golongan wanita yang telah didiagnosis pada tahun 2003.

Namun, perlu diingatkan bahawa kaum lelaki juga tidak terlepas dari bahana kanser payudara. Buktinya, pada tahun 2012 kanser payudara dikesan di kalangan 26 lelaki Melayu, 22 lelaki Cina dan 5 lelaki India. Lebih memburukkan lagi keadaan, Dr. Nik Munirah Nik Mahdi yang merupakan Penyelaras Pusat Sumber Kanser Payudara Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) berkata,kanser payudara yang menyerang golongan lelaki adalah lebih merbahaya kerana sel kanser tersebut lebih aktif dan agresif berbanding sel kanser yang menyerang kaum wanita.


Tanda & Gejala Kanser Payudara
  • Pembentukan gumpalan merupakan tanda biasa yang kekal untuk jangka masa yang panjang;
  • radang, kulit kemerahan atau bengkak akan berlaku jika salur limfa kecil di dalam kulitdan pembuluh limfatik diserang oleh tisu abnormal;
  • kulit akan mempunyai tekstur kupasan oren yang juga dirujuk sebagai "peau d'orange";
  • gumpalan mungkin terjadi di payudara atau di ketiak. Rupa payudara juga akan bertukar melalui penebalan atau pertambahan saiz dan bentuk;
  • kulit payudara kelihatan seperti lekuk atau membentuk rabung;
  • puting akan tenggelam, menjadi merah, bersisik atau mempunyai lelehan yang abnormal; dan
  • apabila ia merebak ke kawasan lain, akan menjelma tanda seperti demam, seram sejuk,sakit tulang dan sendi, sakit kuning, gejala neurologi dan curahan (efusi) pleura.



    Peringkat Kanser Payudara
    • Peringkat I - merujuk kepada kanser payudara pada peringkat awal di mana ukuran melintang tumor kurang dari 2 sentimeter dan belum lagi merebak.
    • Peringkat II - merujuk kepada peringkat di mana ukuran tumor adalah di antara 2 hingga 5sentimeter; atau lebih dari 5 sentimeter tetapi belum merebak; atau kurang dari 2sentimeter tetapi telah merebak ke nodus limfa ketiak.
    • Peringkat III - ialah di mana ukuran melintang tumor telah meningkat ke 5 sentimeter dan telah merebak ke nodus limfa ketiak; atau telah merebak dengan banyaknya ke noduslimfa ketiak; atau telah merebak ke nodus limfa terpencil di dalam tulang selangka atautulang dada.
    • Peringkat IV - pula merujuk kepada situasi di mana kanser payudara telah merebak ke kawasan di luar kawasan dada.

      INFO KANSER PARU-PARU

      Kanser paru-paru merupakan salah satu penyebab utama kematian di Malaysia apabila lebih 4,000 kes pesakit baru dicatatkan setiap tahun. Pada tahun 2007, secara keseluruhanya kanser paru-paru mencatatkan kematian ketiga tertinggi selepas kanser payudara dan kanser kolorektal. Namun, dikalangan lelaki ia menduduki tempat pertama dengan kes sebanyak 15.8%. Kanser paru-paru sering dikaitkan dengan tabiat merokok.

      Punca Kanser Paru-Paru

      Menurut kajian, tabiat merokok merupakan salah satu punca terjadinya kanser paru-paru. Kebanyakan pesakit kanser paru-paru adalah terdiri daripada golongan perokok. Selain itu, pendedahan kepada radiasi dan bahan kimia seperti asbestos, arsenik, kromium dan bahan petroleum juga adalah faktor penyumbang. Faktor terakhir adalah disebabkan oleh pemakanan yang tidak sihat dan mengandungi lemak tepu yang tinggi.



      Simptom Kanser Paru-Paru
      • Batuk berdarah
      • Batuk berpanjangan (tidak sembuh)
      • Jangkitan pada paru-paru dan saluran pernafasan
      • Suara menjadi kasar
      • Badan menjadi lesu dan susut berat badan
      • Sakit pada bahagian tulang dan tulang belakang

      Thursday, 28 July 2016

      Ikan Bakar atau Panggang Dapat Tingkatkan Kesihatan Otak

      Satu kajian yang dijalankan di Fakulti Sains Kesihatan Universiti Pittsburgh, Amerika menyarankan pengalihan fokus daripada omega-3s kepada memakan ikan, asli dan mudah, bakar atau panggang, untuk meningkatkan kesihatan otak.


      “Kajian kami menunjukkan mereka dengan pola makan yang termasuk ikan bakar atau panggang, tapi bukan digoreng, memiliki isipadu otak lebih besar di bahagian yang berkaitan dengan memori dan kognisi,” kata penyelidik kanan James T. Becker, PhD, profesor psikiatri, Fakulti Perubatan, University Pittsburgh.
      fish-baked-in-salt-crust-newMeskipun banyak kajian yang memuji pelbagai manfaat kesihatan asid lemak omega-3 terutamanya kesihatan otak, namun Becker dan pasukannya tidak terkesan dengan pengaruh omega-3s dalam kajian mereka.
      “Kami tidak menemui kaitan antara tahap omega-3 dan perubahan otak ini, yang membuat kami sedikit terkejut,” katanya. “Ia membuat kami menyimpulkan bahawa kami menerokai ke dalam satu set umum faktor gaya hidup yang memberi kesan kepada kesihatan otak di mana pemakanan hanya sebahagian daripadanya.”
      Dengan menggunakan imbasan otak MRI resolusi tinggi, pasukan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Cyrus Raji dari Residensi Latihan Radiologi, Universiti California, Los Angeles (UCLA), menganalisis data daripada 260 orang yang pada masa yang sama mengambil bahagian dalam kajian kesihatan jantung. Peserta yang kesemuanya terdiri daripada mereka yang berumur 65 tahun ke atas, dinilai berada dalam kesihatan kognitif yang baik dalam tempoh 10 tahun kajian berlangsung, yang bermula pada tahun 1989. Secara teratur, peserta melaporkan sendiri pengambilan pemakanan mereka.
      “Dalam kajian ini, peserta menjawab soalan mengenai amalan pemakanan mereka, seperti berapa banyak ikan yang dimakan dan bagaimana ia disediakan,” kata Raji.
      “Ikan bakar atau panggang mengandung tahap omega-3 lebih tinggi berbanding ikan goreng, disebabkan asid lemak hancur dalam suhu tinggi penggorengan, justeru kami mengambilkira perkara tersebut ketika kami memeriksa imbasan otak mereka.”
      Penyelidik menyimpulkan bahawa peserta yang makan ikan bakar atau panggang sekurang-kurangnya sekali seminggu, memiliki isipadu korteks otak besar (grey matter) kira-kira 4.3% lebih besar berbanding yang tidak memakannya. Kognisi mereka pun lebih unggul 14 peratus berbanding yang tidak makan ikan dan lebih cenderung untuk mempunyai pendidikan tinggi berbanding mereka yang tidak makan ikan.
      “Ini menunjukkan bahwa faktor gaya hidup, dalam kes ini adalah makan ikan, bukannya faktor biologi yang menyumbang kepada perubahan struktural di dalam otak. Gabungan faktor gaya hidup bertanggungjawab ke atas kesihatan otak yang lebih baik, dan ini mungkin mencegah atau menunda masalah kognitif yang mungkin berkembang di kemudian hari,” tambah Becker.- AFP (05/08/2014).

      Wednesday, 20 July 2016

      TIPS PENTING CEGAH KANSER

      1. Elakkan penggunaan gula secara berlebihan terutama frukosa. Semua bentuk gula menjejaskan kesihatan secara umum dan menggalakkan penularan kanser. Fruktosa, adalah jelas salah satu bahan yang amat berbahaya dan perlu dielakkan seberapa banyak yang mungkin.

      2. Mengoptimumkan pengambilan vitamin D. Vitamin D mempengaruhi hampir setiap sel dalam badan anda. Ia merupakan salah satu pemusnah semulajadi sel-sel kanser. Vitamin D dapat masuk ke dalam sel-sel kanser dan mencetuskan " apoptosis " (kematian sel). Jika anda menghidap kanser, tahap vitamin D anda harus antara 70 dan 100 ng / ml.

      Adalah baik 6 bulan sekali anda menjalani ujian jumlah Vitamin D dalam badan anda. Rujuk carta berikut

      Tahap tidak selamat kurang dari 50 ng/ml
      Tahap mencukupi 50 - 65 ng/ml
      Tahap sekiranya anda mempunyai kanser 65 ng/ml - 90 ng/ml
      Tahap terlalu banyak lebih dari 100ng/ml
      Rujuk link berikut untuk sumber makanan yang mengandungi vitamin D selain sinaran matahari.
      http://www.algaecal.com/vitamin-d/sources.html


      3. Pastikan badan anda mempunyai jumlah vitamin A yang mencukupi. Ia sangat penting untuk mencegah kanser payudara. Dapatkannya dari sumber-sumber makanan bukan dalam bentuk supplement. Yang terbaik adalah dari sayuran yang berwarna warni. Badan kita boleh mengimbangi keperluan nutrisi-nutrisi yang diperlukan dengan melupuskan nutrisi-nutrisi berlebihan dengan syarat kita mengambilnya dalam bentuk mentah. Perkara ini penting kerana pengambilan Vitamin A secara berlebihan akan menjejaskan keberkesanan Vitamin D.Berada dibawah sinaran matahari pagi selama 1 jam sehari sudah memadai untuk keperluan Vitamin D anda. Ia adalah percuma.

      4. Mengelakkan pengambilan makanan yang dipanggang. Jika anda berisiko tinggi terhadap kanser umpamanya ada dalam keturunan anda pernah mendapat kanser atau mati kerana kanser mengelakkannya sama sekali adalah sesuatu yang sangat penting. Bahan yang berbahaya dalam makanan yang dipanggang dikenali sebagai Acrylamide.Wanita mempunyai risiko tinggi untuk memdapat kanser payudara jika mereka adalah pengemar makanan-makanan yang dipanggang.

      5. Berhati hati dengan produk-produk berasaskan soya yang tidak melalui proses fermentasi. Soya adalah makanan yang baik tetapi hanya jika ia melalui proses fermentasi untuk meminimakan unsur utama yang tidak elok untuk bandan ANTINUTRIEN , soya perlu melalui proses fermentasi. Terdapat kajian yang menyatakan satu bahan dalam soya yang dinamakan ISOFLAVON bergabung dengan ESTROGEN dalam badan wanita mempercepatkan pertambahan sel-sel payudara dan ini berisiko tinggi untuk kesilapan dalam proses penyalinan sel.

      6. Meningkatkan kepekaan reseptor insulin anda. Cara terbaik untuk melakukan ini adalah dengan mengelakkan gula dan bijirin dan pastikan anda bersenam setiap hari.

      7. Kekalkan berat badan yang sihat. Ingat Lemak berlebihan tidak sihat kerna ia menghasilkan estrogen.

      8. Minum satu gelas besar jus sayur-sayuran hijau organik setiap hari.Yang terbaik adalah seperti bayam, saderi,lobak,kale, Timun yang dibuang kulitnya dan brokoli.Terung yang direbus adalah sayuran terbaik untuk pembasmian sel-sel kanser.

      9. Ambil makanan yang mengandungi lemak haiwan yang tinggi dengan OMEGA 3. Kekurangan OMEGA 3 adalah salah satu faktor penularan kanser.

      10. Carcumin. Ini adalah bahan aktif dalam kunyit. Samada anda perbanyakkan penggunaannya dalam masakkan atau beli dalam bentuk yang dikapsulkan. Ia sangat baik dalam rawatan kanser terutamanya kanser payudara. Walaubagaimana pun pengambilan yang dikapsulkan adalah lebih digalakkan kerana carcumin secara amnya tdak dapat diserap dengan baik olih badan olih itu penggunaan melalui yang dikapsulkan lebih disyorkan.

      11. Untuk para wanita amalkan menyuskan anak untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 bulan. Kajian menunjukkan penyusuan boleh mengurangkan risiko kanser payudara.

      12. Untuk wanita elakkan memakai coli yang menggunakan dawai sebagai bingkainya. Ia boleh meningkatkan risiko kanser payudara.

      13. Elakkan diri anda dari terdedah pada produk-produk atau berada dalam kawasan medan elektromagnet.

      14. Pastikan anda mempunyai iodin yang cukup terutamanya wanita. Para penyelidk menyatakan iodin adalah sangat berguna dalam memusnahkan sel-sel kanser payudara dan tiroid. Dapatkannya dalam bentuk permakanan.

      15. Elakkan penggunaan ubat-ubat tahan sakit,ubat pengawalan kolestrol,ubat darah tinggi,suntikkan insulin dan antibiotik. Jika anda terpaksa menggunakannya sedaya upaya cuba beralih kepada yang bersifat semulajadi umpamanya dari tumbuh-tumbuhan. Umpamanya penggunaan ubat darah tinggi dan ubat pengawalan kolestrol dalam jangkamasa melebihi 10 tahun mempertingkatkan risiko kanser hati dan pankerias.

      16. Gunakan air tanpa klorin dalam setiap masakkan dan air minuman anda.Jika anda mandi menggunakan air panas pastikan ianya telah dinyahkan klorin. Beratus penyelidikkan saintifik menyatakan majoriti penghidap kanser payudara mempunyai sebatian-sebatian klorin didalam tisu payudara. Mereka mengesyaki klorin menjadi penyebab kepada majoriti kes-kes berkaitan kanser terutamanya kanser payudara.

      17. Pastikan penampalan gigi dibuat dengan rapi dan menggunakan jenis simen yang selamat walaupun kosnya agak tinggi. Bakteria yang bersembunyi dibawah simen yang tidak sempurna seringkali menyelinap masuk dalam badan terutamanya kawasan payudara.

      Thursday, 14 July 2016

      Penawar Derita Penghidap Insomnia


      Pernahkah anda mengalami masalah sukar untuk tidur pada waktu malam atau terjaga daripada tidur pada waktu malam dan sukar untuk kembali tidur? Jika ya, anda mungkin mengalami masalah yang dikenali sebagai Insomnia.
      Insomnia ialah sejenis ganguan tidur yang didefinisikan sebagai kesukaran untuk memulakan tidur atau kekal tidur pada waktu malam. Individu yang mengalami insomnia juga tidak mendapat kuantiti tidur yang secukupnya walaupun mempunyai masa dan peluang untuk tidur dan seterusnya mengakibatkan gangguan pada rutin hariannya.
      Individu yang mengalami insomnia biasanya akan mempunyai gejala-gejala seperti sukar untuk tidur pada waktu malam, terjaga daripada tidur dan sukar untuk tidur kembali, terjaga terlalu awal pada waktu pagi, berasa penat selepas bangun dan mengantuk pada waktu siang. Individu seperti ini juga menghadapi masalah dalam menumpukan perhatian kepada kerja atau aktiviti harian.
      Masalah insomnia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja pada semua peringkat umur, terutamanya wanita, warga tua, mereka yang tergolong dalam sosiekonomi yang lebih rendah, penagih alkohol yang kronik dan pesakit yang mempunyai masalah kesihatan mental.
      Sekiranya seseorang individu itu mengalami gejala-gejala yang berkaitan dengan masalah insomnia, individu tersebut perlulah merujuk kepada pegawai perubatan agar masalah insomnia dapat dikenalpasti dan dirawat di peringkat awal lagi. Individu yang mengalami masalah insomnia yang kronik biasanya akan mendapat ubat-ubatan yang dapat membantu mengatasi masalah tersebut seperti benzodiazapines atau ubat anti-kemurungan.
      Benzodiazepines adalah sejenis ubat yang bersifat sedatif yang mana akan memberi ketenangan kepada pesakit. Penggunaan ubat ini perlu dikawal kerana penggunaannya dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang dikenali sebagai tolerans, iaitu semakin lama ubat digunakan, kesan sedatif akan berkurangan. Sehubungan dengan itu, pesakit memerlukan dos yang tinggi untuk mendapatkan kesan sedatif yang sama dan seterusnya membawa kepada keadaan ketagihan. Benzodiazepines boleh digunakan sebagai pengubatan jangka masa pendek untuk penyakit insomnia dan merupakan ubat terkawal.
      Selain daripada Benzodiazepines, terdapat juga ubatan lain yang boleh digunakan untuk merawat insomnia seperti ubat anti-kemurungan. Ubat anti-kemurungan digunakan sebagai alternatif kepada benzodiazepines untuk pesakit yang tidak boleh mengambilnya seperti pesakit yang mengalami masalah kemurungan atau individu yang mempunyai sejarah penyalahgunaan ubat benzodiazepines.
      Walaubagaimanapun, penggunaan ubat-ubatan dalam rawatan insomnia untuk jangka masa panjang adalah tidak digalakkan kerana ia boleh mengakibatkan kebergantungan kepada ubat tersebut dan mempunyai kesan sampingan yang serius. Justeru, individu yang mengalami insomnia yang ingin memulakan sebarang rawatan perlulah merujuk kepada pegawai perubatan terlebih dahulu.
      Selain daripada penggunaan ubat-ubatan, kaedah rawatan yang tidak menggunakan ubat juga merupakan satu kaedah yang berkesan dalam merawat insomnia. Justeru, para pengamal perubatan amat menggalakkan kaedah ini disamping penggunaan ubat-ubatan sebagai rawatan insomnia.
      Prosedur kawalan rangsangan merupakan salah satu prosedur yang boleh digunapakai oleh seseorang individu bagi mengatasi insomnia. Pengurusan masa tidur yang baik adalah penting dalam mengatasi masalah insomnia. Individu tersebut digalakkan untuk menetapkan masa tidur yang sama pada setiap hari dan hanya tidur secukupnya untuk merehatkan badan selain daripada mengelak daripada tidur pada waktu siang.
      Seseorang itu juga disarankan untuk hanya tidur apabila berasa mengantuk dan mengelak daripada berjaga terlalu lama di atas katil. Sekiranya seseorang itu gagal untuk tidur dalam masa 20-30 minit selepas baring di atas katil, elakkan daripada memaksa diri untuk tidur sebaliknya digalakkan untuk melakukan aktiviti yang mampu membuatkan rasa mengantuk.
      Tabiat tidur yang baik juga adalah penting dalam merawat insomnia. Individu yang mengalami insomnia digalakkan untuk melakukan senaman ringan secara berkala pada waktu petang tetapi tidak terlalu hampir dengan waktu tidur kerana ia boleh menyebabkan sebaliknya iaitu menjadi lebih segar.
      Persekitaran tidur yang selesa seperti mengelak daripada cuaca yang terlalu panas atau sejuk, bunyi bising dan pencahayaan yang sesuai juga boleh membantu seseorang individu dalam mengatasi masalah insomnia. Selain daripada itu, digalakkan juga untuk berhenti atau mengurangkan pengambilan minuman keras, kafein atau nikotin dan mengelak daripada meminum air dalam kuantiti yang banyak sebelum tidur agar waktu tidur tidak terganggu.
      Pengguna atau pesakit juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian bebas tol 1800-88-6722 untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan ubat-ubatan.
      Disediakan oleh
      Syahira Binti Abdul Refai,
      Pegawai Farmasi Hospital Port Dickson


      sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia